Thursday, 3 October 2013

KEROSAKAN PENGGUNAAN BAHASA PADA MASA KINI (BAHASA ROJAK)

                Penggunaan bahasa rojak pada masa kini semakin membimbangkan dan seterusnya memberi impak yang besar terhadap nasib bahasa kebangsaan kita, Bahasa Melaysia. Masalah ini sebenarnya telah lama berlaku, namun tidaklah seteruk sekarang ini iaitu di zaman yang serba canggih ini. Penggunaan bahasa rojak ini seringkali dilakukan oleh remaja. Ini kerana, pendedahan persekitaran yang terlampau memberi pengaruh bukan sahaja dari segi perlakuan, malah dari segi mereka berbahasa.

                 Bahasa rojak terhasil daripada penggabungan beberapa bahasa misalnya bahasa Melayu dicampur dengan bahasa lain seperti  Bahasa Inggeris dan Arab. Tetapi penggunaan bahasa rojak ini semakin menyebabkan bahasa Melayu semakin terpencil dan terpinggir bahkan oleh bangsa Melayu. Bahasa rojak ini dikatakan sebagai ‘fesyen bahasa anak muda’ kerana sering dipraktikkan di kehidupan harian mereka. Sebenarnya, penggunaan bahasa rojak ini tidak membimbangkan jika hanya digunakan dalam pertuturan seharian, namun adalah merisaukan sekiranya generasi akan datang akan menyalahgunakan penggunaan bahasa ini dan mula menggunakannya dalam majlis rasmi atau penulisan. . Sebagai contoh, penggunaan bahasa rojak dapat dilihat dari contoh dibawah:
i. “picture td colour biru nie oren lak mcm ner wat nie?”       
ii. “best gak…coz penceramah datang khas dr mpc… dia perkenalkan new criteria for 5s.”
         
                 Selain itu,media massa juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan pencemaran bahasa ini berlaku secara berleluasa pada masa ini.Bahasa yang digunakan oleh radio,televisyen,atau akhbar sering menjadi ikutan pengguna bahasa,misalnya drama-drama ataupun rancangan yang disiarkan di kaca televisyen kebanyakannya menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran antara Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.Di samping itu,sebilangan orang besar dan juga orang ramai termasuk yang membuat ulasan apabila diwawancara di kaca televisyen turut menggunakan bahasa rojak.Perkara-perkara seperti ini membawa kepada berlakunya pencemaran Bahasa Melayu kerana orang ramai akan mudah terpengaruh dengan bahasa yang digunakan di media.


               Yang membimbangkan ialah penggunaan bahasa rojak akan melenyapkan jati diri bahasa kita. Pengguna bahasa rojak seolah-olah melupakan asal-usulnya dan bahasa ibundanya dengan lebih mengagungkan bahasa luar. Pada hari ini penggunaan bahasa rojak bukan sahaja berlaku di laman sosial tetapi berlaku juga di alam nyata apabila ramai daripada kita sudah cukup terbiasa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal ini berlaku dalam komunikasi antara satu dengan yang lain, termasuklah golongan pelajar, profesional dan ahli politik, sama ada ketika berucap, bermesyuarat ataupun berbual melalui telefon.

No comments:

Post a Comment