Dalam menjadi sebuah negara yang dipandang tinggi dalam bidang perfileman, pengarah-pengarah tempatan yang terkemuka telah membuat filem yang mempunyai genre yang pelbagai, seperti genre aksi, genre seram, genre lawak dan genre cinta yang diadaptasi daripada novel tempatan. Dan hasilnya telah diterima dengan baik oleh masyarakat kita apabila filem-filem tempatan mula mendapat sambutan yang memberangsangkan di panggung. Sebagai bukti, filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof dilaporkan sebagai salah satu filem pertama buatan Malaysia yang mencapai pungutan sebanyak 10 juta di pawagam tempatan.
Hal ini telah memberi nama kepada Malaysia di persada dunia di samping dpaat bertanding dengan negara=negara lain dalam menghasilkan filem yang bertaraf dunia. Namun begitu, jika kita susuri, penggunaan bahasa dalam filem-filem Malaysia sekarang semakin lama semakin menyimpang daripada konsep kesantunan itu sendiri. Kebanyakan filem-filem tempatan sekarang sudah berani menggunakan bahasa yang agak kasar dan lucah yang boleh menggugat kesantunan masyarakat yang sudah lama dibanggakan.
Contohnya, ialah penggunaan kata ganti nama “awak” kepada “lu” dan saya kepada “gua” serta kata-kata kesat yang menghina orang lain.
"Lu pijak sama gua sekarang .. Lu panggil lu punya anjing2 pijak sama gua sekarang. Tengok" - Shark, KL Gangster (2011)Berikut merupakan antara dialog karakter dalam filem KL Gangster. Bukan sahaja KL Gangster, malah Bohsia, Kongsi dan banyak lagi filem yang memaparkan penggunaan bahasa-bahasa kasar seperti ini. Persoalannya di sini, wajarkah industri perfileman Malaysia meluluskan filem-filem yang bukan sahaja berunsur negatif, malah mengancam kesantunan masyarakat itu sendiri?
Kita perlu sedar bahawa remaja kita pada waktu sekarang yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan. Remaja juga berada dalam satu tahap di mana mereka akan cepat terpengaruh dengan budaya-budaya yang dipaparkan melalui media sosial. Sudah tentu remaja akan mengikuti penggunaan bahasa-bahasa yang mereka dengar daripada filem-filem sebegini rupa. Apa yang kita pelajari pada hari ini akan kita aplikasi pada hari akan datang, dan kita tidak mahu melahirkan remaja yang senang mengikuti budaya songsang dan tidak bertamadun. Kita tidak mahu satu hari nanti, remaja akan bertindak ‘memijak’ dan menghina ibu bapa mereka sendiri. Jangan ingat bahasa itu merupakan suatu perkara yang boleh dilihat sebagai remeh.
Tidak salah jika kita ingin membina sebuah industri perfileman yang sohor, namun begitu, adakah kita perlu gadaikan kesantunan bahasa itu untuk memuaskan hati penonton? Di manakah beradanya kesedaran dalam kepentingan kesantunan bahasa itu? Tepuk dada, tanyalah hati.
No comments:
Post a Comment