Thursday, 3 October 2013

Definisi Media

         Media massa merujuk kepada radio, televisyen, suratkhabar, majalah, brosur, internet, telefon (SMS) dan segala sumber yang bersifat mengendalikan maklumat bagi masyarakat umum.
Media merujuk kepada alat yang mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih moden. Media menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat. Media bukan sahaja merupakan cermin kepada masyarakat malahan media juga merupakan alat perubahan kepada sesuatu masyarakat.
         Dalam sistem demokrasi, media merupakan sumber primer dalam komunikasi massa. Media massa pada masa kini telah melalui arus globalisasi yang mana media kini bersifat universal dan tiada sempadan. Jenis dan fungsinya juga semakin canggih selari dengan perkembangan arus modenisasi pada masa kini. Media sebaran am sudah dianggap sesuatu yang lazim, perkara yang sebati dengan masyarakat manusia moden.

Hubungan Bahasa Melayu dengan Media

          Bahasa merupakan alat yang amat penting bagi menghubungkan semua rakyat dan bahasa juga memberikan banyak sumbangan terhadap media. Hal ini kerana untuk menyampaikan mesej sesuatu perkara itu melalui media, penggunaan bahasa terutamanya bahasa Malaysia haruslah dititikberatkan. Dengan begitu, penyampaian media akan lebih berkesan seterusnya dapat memartabatkan penggunaan bahasa Malaysia serta menjana kreativiti dan juga kualiti penggunaan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat sejagat.
Jika kita dapat lihat dalam setiap aspek media seperti media massa mahupun media cetak, penggunaan bahasa yang baik dan yang dikatakan sebagai kesantunan bahasa semakin terhakis dari semasa ke semasa. Sebagai seseorang yang hidup pada zaman pasca merdeka ini, semakin ramai yang alpa tentang betapa pentingnya penggunaan bahasa dan juga perlakuan yang sopan serta budi bahasa yang ditunjukkan semasa dalam penggunaan media dan perkara ini sangat membimbangkan banyak pihak terutamanya kepada kanak-kanak seawal usia di mana mereka telah didedahkan dengan pelbagai aspek media dengan penggunaan bahasa yang kurang memuaskan. Penggunaan bahasa makian, bangga diri, memfitnah dan lain-lain menyumbang kepada kepincangan kualiti yang generasi akan datang dapat. Apatah lagi kanak-kanak yang baru sahaja setahun jagung telah didedahkan dengan televisyen dan fungsinya sekali. Jika ibu bapa itu merupakan ibu bapa yang tahu akan kepentingan penggunaan bahasa yang baik, pasti mereka tidak akan mendedahkan anak-anak mereka untuk terjebak dengan kesalahan yang jelas terpampang dalam media terutamanya televisyen dan juga komputer.
          Media berperanan dalam membentuk ”wacana akal sihat”. Apa yang diterbitkan di dada-dada akhbar akan menjadi bahan rujukan para pembaca, dan seterusnya menjadi rangka representatif perilaku atau cerita seterusnya. Hal ini bukanlah sikap yang bijaksana, kerana pembaca harusnya menganggap bahawa surat khabar tertentu adalah salah satu sumber berita saja, bukan segalanya. Oleh sebab itu, muncullah analisis krisis wacana untuk menyempurnakan analisis wacana sebelumnya. Wacana ini mengajar kita untuk berfikir dengan jernih, terbuka dan kritis, misalnya dalam analisis teks bahasa; praktis wacana dan juga analisis praktis sosiokultural.

Sumber maklumat: http://sofiansukentes.wordpress.com/2009/10/29/bahasa-dan-media-massa/

No comments:

Post a Comment